Friday, 26 July 2013

MISI 10 RAMADHAN TERKAHIR : MENCARI MALAM LAILATUL QADAR

Daripada Abu Hurairah r.a dari nabi saw bersabda :
" Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu. " 
(HR Bukhari & Muslim)


APA ITU MALAM LAILATULQADAR ? 

Malam lailatul qadar itu merupakan malam yang sangat special. Malam ini hanya ada pada bulan ramadhan sahaja dan mempunyai banyak fadhilatnya.

Malam inilah malam yang ditunggu-tunggu oleh para Anbia dan para solihin kerana malam ini tidak terdapat pada bulan-bulan lain. 

Nak tahu tak ? 
Beramal pada malam lailatil qadar akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah seperti beramal selama 1000 bulan bersamaan dengan lebih 83 tahun. Masya Allah!

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qadr ayat 1-5.

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar,
2. Dan tahukah kamu apakah Malam kemuliaan itu?
3. Malam kemuliaan lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
5. Sejahteralah malam itu sampai terbit fajar.

BILA MALAM LAILATULQADAR ITU ?

Ada beberapa hadis yang menjelaskan bilakah kemungkinan berlakunya malam lailatul qadar itu.


Rasulullah SAW bersabda :
" Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam lailatul qadar pada malam-malam ganjil di sepuluh malam akhir bulan ramadhan. "
( Hadis riwayat Aisyah r.a)

Dari Muawiyah bin Abu Sufian r.a, dari Nabi SAW beliau bersabda : " Lailatul qadar itu ialah pada malam kedua puluh tujuh. "
(HR Abu Daud)

Dari Umar r.a  :  bahawa beberapa orang sahabat  Nabi SAW melihat lailatul qadar  dalam mimpi  pada tujuh  hari terakhir  bulan ramadhan. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Diperlihatkan kepadaku kebenaran mimpi kalian, iaitu telah sesuai pada tujuh  hari terakhir. Oleh itu, barang siapa yang ingin mencari malam tersebut, maka carilah ia pada  tujuh  malam terakhir ramadhan. "
(HR  Bukhari & Muslim) 

JADI MALAM LAILATUL QADAR NI JATUH PADA 27 RAMADHAN LA YE ?

Errm, agak sukar bagi saya untuk memastikannya.

Sebenarnya para ulamak mempunyai pendapat yang berbeza mengenai malam lailatul qadar ini. 

Ada yang menyatakan malam yang ke-27, ada yang menyatakan  pada malam-malam yang ganjil antara malam 21 hingga malam 29.
Tetapi yang sebenarnya ialah malam lailatul qadar ini telah dirahsiakan oleh Allah.

Tak penting pun kita mengetahui bila masa yang benar-benar tepat jatuhnya malam lailatul qadar itu dan tak perlu berdebat tentang malam itu. 
Yang lebih penting ialah persediaan kita untuk menghidupkan malam-malam ramadhan dengan amal ibadat yang sewajarnya dan melipatgandakannya terutamanya pada sepuluh malam yang terakhir.

AMALAN APA YANG DIANJURKAN PADA MALAM LAILATUL QADAR ?

Dari Aisyah r.a., beliau berkata, saya bertanya kepada Rasulullah bagaimana kalau saya tahu akan malam lailatul qadar itu? Apa yang harus saya ucapkan pada malam itu? Rasulullah SAW bersabda, ucapkanlah : Allahumma innaka 'afuwun qarim, tuhibbul 'afwa. " Ertinya : Ya Allah, Engkau adalah Pengampun, suka Mengampuni, ampunilah hamba. "
( HR Ahmad, at-Tirmizi & Ibnu Majah)

  • Memohon ampun segala dosa yang terdahulu dengan cara banyak beristigfar.


  • Mengerjakan solat-solat sunat dan solat Qada'


  • Membaca Al-quran


  • Berzikir dan berselawat


  • Mengerjakan solat isyak, terawih dan subuh secara berjemaah

MENGAPA MALAM LAILATUL QADAR PERLU DICARI?

Pada malam lailatulqadar itu, Allah membuka suatu rahmat daripada samudera-samuderaNya, sehingga Dia memberikannya secara melimpah ruah kepada mereka yang mendapatkan malam itu. 

Malam lailatul qadar adalah suatu malam yang suci dan tidak semua orang mampu untuk mencapainya.

Ada segolongan kita yang tertidur pada malam yang penuh berkat itu dan ada juga yang berjaga pada malam itu tetapi lalai dengan urusan dunia. Mereka terlepas dengan peristiwa agung ini dan itulah penyesalan terbesar buat mereka.

Andai kita menyedari bahawa malam itu adalah malam yang paling tinggi barakahnya di antara semua malam, tentu sahaja kita akan sedaya upaya untuk mendapatkannya. 

Oleh itu, jangan kita biarkan sahaja bulan ramadhan ini berlalu begitu sahaja. Kita berpuasa, tetapi kita bukannya kehilangan hari-hari berlalu, bahkan kekuatan kita harus terus bertambah. Berusahalah untuk meninggalkan tubuh kita dalam keadaan bersih demi ruh kita. Adalah penting untuk bertemu Allah dalam keadaan yang suci dan baik agar para malaikat pun menerima kita dengan sebaiknya.

Berusahalah untuk terus mencari keberkatan dan keredhaan Allah dalam bulan ramdhan ini. Pasti kita ingin jadikan ramadhan kita kali ini adalah ramadhan yang bermakna bukan? Hayatilah ramadhan kali ini seperti seolah-olah ini adalah ramadhan yang terakhir buat diri kita kerana kita tidak akan pernah tahu apakah kita masih bertemu dengan ramadhan pada tahun yang berikutnya.

AYUH SAHABAT-SAHABATKU, ADAKAH ANDA AKAN MENYERTAI MISI INI ? 

No comments:

Post a Comment