Saturday 27 April 2013

Kak, adik tak cantik !



Kak, adik sedihlah kak. Adik tak cantik macam dia. Dia bergaya. Dia berkulit cerah. Hidung mancung. Pendek kata kalau orang tengok dia mesti semua orang suka kat dia. Suka pandang dia. Sebab dia cantik. Adik ni? Tak payah cakap la kak. Dah la tak bergaya langsung. Pendek. Berbadan gempal. Kulit pun agak gelap. Adik tahu takde orang nak pandang adik ni kan? Kalau boleh kan sumpah adik nak cantik macam dia!
 Kenapa adik bersedih sebab ada orang lain lebih cantik dari adik ?

Haruslah sedih. Orang yang tak cantik macam adik ni tak menjadi tarikan. Takde orang pandang la kak!

Eh, adik pasti ke takde orang pandang-pandang adik ni ?

Sumpah kak! Adik selalu tengok dia yang cantik tu ramai je orang suka pandang dia kak. Yelah orang cantik la katakan. 

Adik.. Buat apa nak cemburu dekat orang yang cantik. Padahal kecantikan dia tak kekal pun dik. Dekat dunia je pun.

Adik tahu kak. Tapi seronok je tengok semua orang suka pandang dia. Tak kira lelaki ke perempuan ke semua suka pandang dia kak.

Seronok ke dipandang orang? Ok. Akak nak tanya adik. Adik lebih suka cantik di mata manusia ke cantik di mata Allah ?

Errr ... Cantik di mata manusia dan Allah boleh tak kak?

Boleh je dik. Tapi yang paling penting biarlah kita ni cantik di mata Allah dulu. Tak guna kalau kita cantik di mata manusia semata-mata tapi tak cantik di mata Allah.

Maksud akak ?

Ok. Macam ni. Kalau seseorang tu cantik mcm model sekalipun. Tinggi lampai, berkulit cerah, hidung mancung, bertubuh langsing, tapi kalau dia menggunakan kecantikan yang dia ada tu untuk tujuan yang salah agak-agaknya dia cantik tak di mata Allah ?

Kita tahu bahawa sebagai seorang wanita muslimah, kecantikan yang sebenar adalah melalui dalaman diri kita. Maknanya keperibadian kita. Apa yang kita tunjukkan dengan sifat-sifat yang ada dalam diri kita. Maksud salah menggunakan kecantikan seperti seseorang itu mengagung-agungkan kecantikan yang dia miliki. Dia menggunakan perhiasan yang berlebih-lebihan dan kemudian pamerkan kepada orang ramai dan berasa bangga kerana diri telah menjadi satu tarikan. Allah S.W.T ada berfirman :


" dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu".

(Al-Ahzab : 33 )

Maksud tetap berada di rumah disini bukanlah kita mesti duduk rumah je. Tetapi sekiranya tiada keperluan untuk kita keluar,  kita dianjurkan untuk berada di rumah supaya kita dapat mengelakkan diri kita daripada terdedah untuk melakukan perkara-perkara menyalahi syariat seperti berhias ataupun tabarruj (berhias secara berlebih-lebihan). Ada yang keluar dari rumah dan berhias secara lebih-lebihan. Contohnya, dia memakai tudung, tapi tudungnya, tidak menutupi bahagian dadanya. Pakaiannya juga ketat. Nampak susuk badan. Allah S.W.T berfirman :



" Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani "
(AL-Ahzab : 59 )

Ha.. maknanya kat sini, kecantikkan kita bukan hanya pada raut wajah kita semata-mata tau dik. Kita juga harus menjaga diri kita dengan menyarungkan pakaian yang menutup aurat macam firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 59. Lagipula kan dik, kecantikkan kita ni bukanlah untuk menjadi pandangan semata-mata. Islam cukup menjaga wanita melalui cara pemakian yang betul. Apabila kita memakai pakaian yang menutup aurat, tak ada siapa yang nak menganggu kita dik. Malah kita akan cukup dihormati kalau pakaian kita sangat menutup aurat dik. Tak perlu penampilan yang bergaya pun dik. Cukuplah yang paling penting pakaian kita mengikut syariat islam.

Ok. Buat apa lah adik nak cemburu kalau orang cantik itu menjadi tarikan orang ramai sehingga orang lain suka memandang dia. Bukankah Allah dah suruh kita menjaga pandangan kita ?

" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya "
  ( An-Nur : 31 ) 
                                                                    


Lagipun kan dik, apa yang nak dibanggakan kalau diri menjadi tarikan para lelaki. Lelaki pun kena jaga pandangan tau dik !


" Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. "
(An-Nur : 30 )

Melalui firman Allah di atas, adik tak perlulah merasa bangga andai diri dipandang oleh lelaki yang bukan muhrim. Biarkanlah kecantikkan adik hanya buat tatapan kepada yang halal sahaja. Jadi adik seharusnya rasa selamat tau apabila diri adik tidak menjadi perhatian sehingga ada mata-mata yang memandang. Lagipula, apabila seseorang itu telah dapat menjaga pandangannya, bererti dia sememangnya seorang yang memiliki akhlak yang sangat mulia. Kalau adik nak tahu, MUSLIMAH SEJATI ITU TIDAK DIPANDANG DAN TIDAK MEMANDANG. Oleh itu, adik tidak perlu berasa berkecil hati andai tidak menjadi tarikan orang. Lagipun Allah tidak pernah memandang akan kecantikan kita tau. Allah hanya memandang ketakwaan seseorang, iaitu hati dan amalnya. Kecantikkan tidak menjamin seseorang itu memiliki ketakwaan yang tinggi, tetapi ketakwaan yang tinggi menjamin kecantikan seseorang.  Rasulullah SAW bersabda :


" Sesungguhnya Allah tidak memandang rupa dan harta kalian, akan tetapi Dia memandang hati dan amal perbuatan kalian. "
 (HR MUSLIM)


Maknanya, apabila sesorang itu indah pada takwanya, maka, dia juga indah pada keseluruhannya. Kecantikkan di mata Allah lah kecantikkan yang sebenar. Biarlah bagaimana pun rupa kita, kita seharusnya bersyukur dan terimalah seadanya kerana semuanya telah diciptakan indah oleh Allah. Firman Allah :

" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."
(At-Tin : 4 )

Oleh itu, adik tak perlu risau andai diri adik tidak secantik orang lain. Kita semua telah diciptakan dengan sebaik-baiknya oleh Allah. Yang membuatkan kita cantik dan indah ialah dengan sifat-sifat mulia yang ada dalam diri kita. Dengan takwa dan iman yang menjadi perisai buat diri kita. Bukanlah dengan paras rupa semata-mata. Andai kita memiliki wajah yang cantik sekalipun, tetapi kita tidak mempunyai sifat ketakwaan dalam diri kita, Allah tidak akan memandang kita sebagai seorang yang cantik. Sifat solehah itulah yang membuatkan diri kita menjadi seorang yang lebih cantik sehinggakan bidadari-bidadari syurga yang wajahnya berkali ganda cantik pun akan cemburu dengan wanita solehah! Subhanallah! Ini menunjukkan kecantikan tiada ertinya jika dibandingkan dengan sifat-sifat yang indah yang kita miliki. 

Jadi, mulai sekarang, ubahlah persepi adik. Walaupun adik tidak cantik sekalipun, yakin lah dengan sifat-sifat mulia yang ada pada diri adik, adik sentiasa nampak cantik dan menawan di mata Allah. Bukanlah untuk mengejar pujian manusia semata-mata. Renung-renungkanlah, mana yang lebih penting, penghargaan manusia atau reda Allah ?

^_^