Monday 25 March 2013

Kerana HATI itu memerlukan CAHAYA

Dikisahkan bahawa ada sebuah hati yang terjatuh dalam lubang yang gelap gelita. Tanpa cahaya yang menemaninya. Puas ia mencari dimanakah sumber cahaya namun tidak ditemuinya. Yang ada hanyalah ia tinggal bersama ulat-ulat berbisa. Lantaran sukar mencari cahaya, hati tersebut akhirnya terbiasa hidup dalam lubang yang gelap gelita tersebut bersama ulat-ulat yang berbisa sehinggakan akibat terlalu lapar hati itu memakan ulat-ulat yang berbisa itu kerana tidak memperoleh sumber makanan yang lain.

Sehinggalah pada suatu hari, hati tersebut menemui satu tali putih yang bercahaya. Tali tersebut melambai-lambai untuk menyelamatkan hati tersebut. Namun hati tersebut masih dalam ego yang tinggi dan tidak mahu mendekati tali tersebut disebabkan sudah terbiasa menjalani kehidupan dalam keadaan yang gelap itu. Tali tersebut tidak berputus asa dan cuba menarik hati tersebut kembali sehinggalah akhirnya hati tersebut berasa penat dengan kehidupan gelap yang dilaluinya lalu ia memilih untuk mengikuti tali tersebut. Tali itulah yang menyelamatkan hati tersebut untuk keluar dari lubang yang gelap tersebut dan menuju ke sebuah kehidupan yang lebih baik. Pengakhiran kehidupan sebuah hati itu ialah, hati tersebut mampu untuk meneruskan kehidupannya dengan lebih baik dengan adanya penyelamat daripada tali putih yang bercahaya tadi.

Begitulah perumpamaannya dengan hidayah yang datang menerpa kepada manusia. Hidayah itu ibarat tali putih yang bercahaya yang hanya singgah di hati orang-orang menagih cahaya ilahi. Ia juga ibarat teguran buat insan supaya tidak terjatuh ke lembah kegelapan dan supaya mereka mencari sinar cahaya kehidupan. Hidayah yang menerpa dalam jiwa manusia adalah melalui lima cara.

1. Hidayah datang melalui diri sendiri, iaitu Allah telah menyentuh hatinya dengan memberi kesedaran ke dalam hati seseorang itu untuk melalui ke jalan yang lebih baik. 

2. Hidayah melalui kejadian yang menimpa kepada kita. Sebagai contoh bala bencana. Ada manusia yang berubah selepas ditimpa sesuatu bala atau kesusahan. Setelah bala atau kesusahan menimpa mereka, barulah mereka menyedari bahawa Allah adalah tempat mengadu dan hanya kepada Allah tempat mereka mengharapkan pertolongan. Walaupun bala bencana yang menimpa mereka menjadikan mereka berubah, tetapi harus diingatkan bahawa hanya Allah yang mempu memberi hidayah kepada mereka.

3. Hidayah datang melalui teguran. Allah akan menghantar orang-orang yang disekeliling kita sebagai perantaraan untuk memberi teguran kepada kita. Mungkin adakalanya kita terasa tersentuh hati dengan teguran daripada mereka yang dekat di sekeliling kita. Akan tetapi, kita harus ingat bahawa setiap teguran walaupun menyakitkan adalah daripada Allah untuk membaiki diri kita agar menjadi lebih baik daripada semalam. Jauh sekali teguran yang dilemparkan itu adalah kerana benci, tetapi adalah kerana Allah sangat menyayangi kita dan ingin memberi kehidupan yang jauh lebih baik. Apa yang perlu kita lakukan sekiranya menerima teguran walaupun teguran tersebut amat menusuk kalbu kita, tetapi kita hendaklah sentiasa mencuba menerima dengan ikhlas teguran tersebut dan berfikiran positif kerana diakhirnya pasti ada hikmah yang belum kita ketahui.

4. Hidayah datang melalui hal-hal keduniaan. Hidayah ini datang apabila ada hal-hal tentang dunia contohnya peperangan di palestin. Apabila menedengar tentang peperangan di palestin, ada yang merasa simpati dengan derita yang dihadapi oleh rakyat palestin. Ini akan menimbulkan rasa kesyukuran kerana diberi kehidupan yang lebih baik. Ada juga yang berasa kagum dengan semangat penduduk palestin yang tidak pernah berasa lemah walaupun diserang oleh rejim zionis israel laknatullah. Malah mereka sentiasa berjuangan demi prinsip yang diamalkan iaitu hidup mulia ataupun mati syahid.

5. Hidayah melalui maut. Hidayah ini merupakan hidayah tahap terakhir iaitu tahap masa telah terlambat untuk berubah. Apabila keempat-empat hidayah di atas tidak diterima oleh manusia, inilah hidayah yang terakhir. Hidayah ini diibarat hidayah yang sudah terlambat kerana sememangnya sifat manusia yang suka melambat-lambatkan sesuatu perkara tersebut sehingga akhirnya menyesal dan tidak diberi kesempatan untuk mengubahnya.


Janganlah kita menjadi hati yang terjatuh di dalam lubang gelap yang sangat ego untuk menerima bantuan daripada tali putih tersebut. Kerana tali putih itulah yang menyelamatkan hati tersebut. Hidayah tidak akan datang kepada orang-orang yang tidak berusaha untuk membuka hati untuk menerimanya.




No comments:

Post a Comment