Setiap kali Rasulullah SAW pergi ke Masjid Nabawi, baginda akan terlihat seorang lelaki berkulit hitam yang tidak tampan sedang membersihkan kawasan masjid di samping menjaga masjid setiap masa.
Walaubagaimanapun, kehadiran lelaki tersebut tidak diambil peduli oleh mereka yang datang ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat. Para jemaah seolah-olah tidak menghiraukan tugas murni lelaki itu ditambah pula keadaannya yang daif.
Berlainan pula dengan Rasulullah yang sentiasa peka dengan apa yang dilakukan lelaki berkenaan. Hinggalah pada suatu ketika, oleh kerana sudah beberapa hari Rasulullah tidak melihat lelaki itu di perkarangan masjid, lalu baginda bertanya kepada para sahabat.
"Wahai sahabat, tahukah kamu ke mana perginya lelaki berkulit hitam yang selalu membersihkan
kawasan masjid? Sudah beberapa hari aku tidak melihatnya."
"Ya Rasulullah. Lelaki yang engkau maksudkan itu sebenarnya telah meninggal dunia beberapa hari
yang lalu." Jawab salah seorang sahabat.
Serta-merta wajah Rasulullah berubah. Baginda terkejut kerana tidak diberitahu mengenai kematian lelaki tersebut.
"Mengapa kamu tidak memberitahu kematian lelaki itu kepadaku?" Tanya Rasulullah kepada sahabat yang memberitahunya tadi.
"Sebenarnya kami tidak menyangka kehadirannya di masjid ini mendapat perhatian Rasulullah dan kami yakin Rasulullah tidak perasan kehadiran lelaki berkulit hitam itu," Jawab sahabat Rasulullah itu.
"Mungkin kerana kulitnya hitam, mukanya hodoh dan kerjanya hanya membersihkan kawasan masjid menyebabkan kamu semua tidak menghiraukan kehadirannya?" Balas baginda.
Para sahabat yang berada di situ diam semuanya. Mereka tidak menyangka Rasulullah begitu prihatin kepada mereka yang peranannya kecil tetapi sumbangannya amat besar.
Kemudian Rasulullah berkata lagi,
"Kalau begitu, kamu tunjukkan aku di manakah kuburnya. Aku ingin menziarahinya."
Lantas para sahabat membawa Rasulullah menziarahi kubur lelaki itu yang letaknya tidak jauh dari situ.
Sebaik-baik sahaja sampai di kubur lelaki tersebut, Rasulullah terus berdoa.
"Ya Allah, Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat dan keampunan terhadap semua ahli kubur termasuk
roh lelaki yang selama ini menjaga kebersihan Masjid Nabawi".
Selepas berdoa dan sebelum beredar dari tanah perkuburan itu, Rasulullah berpaling kepada para sahabat dan berkata,
"Selama ini semua penghuni kubur di sini berada dalam kegelapan. Alhamdulillah, sekarang Allah telah memperkenankan doaku. Allah telah menerangkan semua kubur termasuklah lelaki berkulit hitam itu."
[ keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat. ]
No comments:
Post a Comment